Tuesday, 4 December 2012

Alat Muzik Tradisional Perkusi

Gendang
Gendang (bahasa Jawa: Kendhang, bahasa Melayu: Gendang, bahasa Tausug/Bajau bahasa Maranao: Gandang) ialah alat bunyian yang diperbuat daripada kulit binatang seperti kerbau, kambing atau lembu. Ia merupakan salah sebuah alat muzik dalam keluarga genderang.
Setiap bangsa seperti Cina, Melayu dan India mempunyai gendang dengan nama yang tersendiri. Gendang boleh didapati dalam pelbagai saiz dan kegunaan. Ada gendang yang digunakan untuk persilatan bagi orang Melayu. Ada gendang digunakan bagi tari menari dan ada juga yang digunakan untuk menyambut perayaan atau pertabalan Diraja.
      Jenis-jenis gendang yang mempunyai satu muka seperti kompang dan rebana diakui telah mendahului gendang-gendang yang mempunyai dua muka sepertimana yang terdapat dalam ensemble paluan silat, nobat diraja, Mak Yong, Gendang Keling, Wayang Kulit, Terinai dan sebagainya. Begitu juga dengan gendang dua muka yang terdapat dalam permainan Gamelan yang juga merupakan satu eksternal dari kejadian dahulu.
Sejenis gendang dua muka yang dikenali sebagai Gendang Ibu dan Anak berkembang di negeri Kedah, Perlis, Terengganu dan Perak telah ditakrifkan sebagai Gendang Melayu. Digunakan sebagai Genderang dalam ensemble paluan untuk mengiringgi teater tradisional serta mengiringgi tarian klasik Istana dan rakyat.
Temalangnya diperbuat daripada kayu nangka ataupun jenis kayu yang keras yang lain yang dianggap sesuai. Bentuknya seperti tempayan iaitu ‘barrelshape’ dan tebukan dalaman dilakukan selari dengan bentuk luaran. Ini bagi menjamin mutu suara yang terbaik dan ideal. Pada permukaan besar temalang tersebut telah dirambing dengan belulang lembu manakala permukaan kecilnya dengan belulang kambing.
Proses merambing hendaklah bermula dengan meregang ataupun memasangkan kulit-kulit berkenaan yang masih dalam keadaan lembap pada bingkai rotan yang telah dibentuk mengikut kesesuaian. Dengan ini apabila kering, ianya akan menebat di antara kulit dan bingkai tersebut. Kemudian dipasangkan serentak pada kedua-dua muka gendang tersebut dan dijalin dengan rotan, berbentuk seperti “Y” sebagai bahan penegang, menerusi gelung-gelung yang diperbuat daripada kulit berfungsi sebagai ‘simpai’ iaitu alat tala ataupun ‘immediate tuning device’ bagi gendang.
Dalam proses penalaan bunyi, ‘kemban rotan’ juga dipakai pada badan gendang tersebut. Ini bagi menjamin ketegangannya supaya tidak cepat mengendur. Dalam keadaan yang sama ‘kemban rotan’ juga berfungsi sebagai bahan penghias.
Dalam konteks persembahan Gendang Ibu akan disertai secara berpasangan dengan Gendang Anak untuk memainkan pola-pola paluan yang khusus secara meningkah bagi pembinaan setiap struktur irama mengikut disiplin yang didukunginya seperti ensemble Wayang Kulit, Menora, Makyong dan Silat.
Secara praktis permukaan besar Gendang ibu dapat melahirkan suara asas yang dapat disifatkan sebagai mnemonic ‘doh’ dan pada permukaan kecilnya ialah mnemonic ‘pak’; begitu juga dengan permukaan besar Gendang Anak iaitu mnemonic ‘ting’ dan pada permukaan kecil ialah mnemonic ‘chak’.
Dalam amalan semasa persembahan ianya dipangku diatas riba secara tertib mengikut keselesaan pemainnya dan dipalu dengan tangan pada kedua-dua belah mukanya. Gendang Anak mempunyai ukuran yang lebih kecil sedikit daripada Gendang Ibu dan tebukan dalaman sering dianalogikan sebagai buluh seruas supaya dapat menghasilkan ‘pitch’ yang tinggi.
Bagi pengamal gendang, mereka menghias dengan menggunakan enam (6) ‘simpai’ atau lima dan peranan ‘simpai’ bagi Gendang Melayu merupakan sesuatu yang mutlak bagi proses penalaan bunyi. Ianya juga dianggap sebagai ‘the immediate tuning device’ iaitu secara praktisnya seseorang dapat menala alatnya dengan pantas dalam mencari suara. Berbanding dengan kaedah-kaedah lain yang sering digunakan seperti mengetuk pada bingkainya. Kaedah ini tidak wajar dilakukan oleh seseorang pemain itu sewaktu dalam persembahan. Untuk mengekalkan hayat kulit secara yang berpanjangan ‘simpai’ tadi perlu dilonggarkan apabila selesai satu persembahan.
Perkembangan Gendang Melayu dikatakan berasal dari India. Di Kedah masih terdapat gendang dua muka yang mempunyai persamaan bentuk gendang ‘mridanga’ yang terdapat dalam komuniti India di Malaysia. Ianya pada suatu ketika dahulu telah dianggapkan sebagai Gendang Keling, satu nama korupsi yang tidak wajar diketengahkan dalam kontek semasa. Kini gendang tersebut telah diterima sebagai sebahagian daripada jenis-jenis gendang Melayu.
Pengaruh Timur Tengah telah banyak memberi kesan kepada pembentukan alat-alat gendang di Malaysia. Alat-alat seperti Nekara, Meruas, Gedombak, Kompang, Jidor, Rebana, Dub serta Tar Rodat adalah terhasil daripada perhubungan perdagangan dan penyebaran agama Islam dirantau ini sejak sekian lama dan sekaligus memperkayakan lagi unsur-unsur serta nilai budaya masyarakat setempat.
Alat-alat seperti Gedombak yang terdapat didalam permainan Wayang Kulit di Kelantan mempunyai talian dengan ‘Dombak’ atau ‘Zarb’ di Iran dan ‘Darabuka’ di Iraq. Bagi gendang yang berbingkai (frame drum) seperti Kompang merupakan alat terpenting bagi meraikan majlis keagamaan masyarakat Islam di Timur Tengah. Alat-alat ini dikenali sebagai ‘Daira’ di Iran, ‘Bendir’ di Maghribi’, ‘Tar’ di negara-negara Teluk dan ‘Duff’ di Syria.
Bagi gendang dua muka yang menyerupai ‘Jidur’ dan ‘Beduk’ di Maghribi dikenali sebagai ‘Tabl’ manakala gendang dua muka yang lebih kecil dikenali sebagai ‘Maruas’ atau ‘Manama’ di Bahrain. Gendang ‘Nakara’ seperti yang terdapat di Maghribi, Habsyah dan Sudan; sungguhpun terdapat istilah ‘Tabl’ atau ‘Tabla’ dikatakan berasal dari perkataan Arab yang bermaksud gendang, namun alat Tabla yang terdapat dalam permainan Ghazal di Malaysia berasal dari India. Begitu juga dengan gendang Melayu juga berasal dari India dan mempunyai persamaan bentuk seperti gendang ‘Mridanga’. Suatu ketika dahulu istilah Gendang Keling sering digunakan bagi Gendang Melayu khususnya yang berkembang di Kedah dan di Perlis.
Gong
Gong merupakan sejenis peralatan muzik 'idiophone' yang berasal dari Asia Selatan dan Asia Tenggara. Gong telah wujud semenjak zaman gangsa lagi dari Yunan. Gong juga dimainkan bagi mengiringi permainan wayang kulit di Indonesia. Gong merupakan alatan penting yang berperanan sebagai bunyi tulang belakang dalam essemble persembahan muzik gamelan.
Gong terdiri daripada pelbagai saiz untuk menghasilkan bunyi yang berbeza setiap satunya dan dimainkan bersama-sama mengikut rentak lagu. Kebiasannya, 1 atau 2 drum turut dimainkan serentak untuk mempelbagaikan irama muzik yang lebih unik. Gong telah banyak dijumpai di seluruh semenanjung Indochina dan kepulauan Nusantara ebagai alat utama dalam upacara khas dan persembahan muzik tradisional.
Di Malaysia, jumpaan terawal bentuk awal gong adalah gendang Dong Son yang dijumpai di Batu Buruuk, Terengganu pada 1974.[1] Ia dihasilkan sejak 600 BC atau lebih awal sehingga Abad ke-3 dan merupakan salah satu contoh hasil kerja logam budaya itu yang terbaik. Ini merupakan hasil pendedahan dari perdagangan rempah antara India dan Cina yang berlaku sejak zaman Yunani lagi dan juga hasil kerajaan Melayu tua seperti Champa[2], dan banyak nama tempat di Kelantan, dan Terengganu menggunakan nama Gong.
Alat ini terjamin berkualiti tinggi kerana cara penbuatannya adalah sukar dan memerlukan kos yang agak tinggi. Alat ini diimport dari Indonesia, terutama dari Jawa. Gong tempatan mempunyai 'shallow rims' dan 'small boss'. Melodi yang dihasilkan adalah untuk memberi isyarat pada permulaan dan penghabisan sesuatu lagu.
Semasa pemerintahan kerajaan-kerajaan Nusantara dahulu, gong kecil atau canang akan dikandar oleh pesuruh raja yang akan berkeliling kampong-kampong bagi menyebarkan berita. Gong akan dicanang bagi mengumpulkan penduduk kampung dan titah raja akan dibacakan oleh pesuruh raja.


Sejarah kemunculan awal alat gong jenis berbusut di dunia bermula di Asia Tenggara dan disifatkan sebagai alat ‘asli’ bagi masyarakat Melayu. Gong berbusut yang diakui pernah ditemui di Indonesia bertarikh kira-kira 1000 S.M. Sungguhpun ada pendapat yang mengatakan bahawa Gong telah wujud di negara China sejak dari zaman pemerintahan Dinasti Zhou lagi (1122-1229 S.M).
Keluarga Gong di Malaysia secara umumnya adalah terdiri daripada jenis-jenis yang berbusut ataupun yang bertombol. Ianya diperbuat daripada bahan-bahan asas seperti tembaga, timah dan besi. Terdapat didalamnya pelbagai bentuk dan ukuran yang kelihatan begitu berbeza-beza diantara satu sama lain termasuk juga ‘pic’ (sukatan bunyi).
Istlah ‘tetawak’ yang sering kita dengar secara tradisi adalah merupakan satu istilah tempatan ataupun bagi alat gong yang digunakan secara meluas oleh masyarakat di negeri Kelantan khususnya dan juga dinegeri-negeri lain di Malaysia. ‘Tawang’ mengikut sistem ejaan fonologinya dan berkemungkinan besar alat-alat ini telah dibawa masuk dari kepulauan Mindanao di Selatan Filipina. Hingga kini alat gong masih di perbuat di sana khususnya oleh suku Maranos di Wilayah Lanao del Sur. Dari maklumat yang di perolehi, alat tetawak dari jenis tembaga ini tidak pernah diperbuat di negeri Kelantan. Ianya diakui dibawa masuk dari negara Burma melalui Pattani di selatan Thailand sejak beratus-ratus tahun dahulu untuk kegunaan teater tradisional seperti Wayang Kulit, Menora, Mak Yong dan Tarian Asyik.
Pada masa kini terdapat juga alat tetawak yang diperbuat dari besi sebagai alternatif oleh pakar-pakar tertentu dari kalangan masyarakat tempatan. Mereka menggunakan teknik ‘pateri’ ataupun dibentuk dari objek seperti ‘leger’ iaitu tong-tong minyak yang sedia ada kemudian dipaterikan. Namun kemahiran teknik seperti di atas tidak dapat menjamin mutu dan nilai sesebuah alat itu, bahkan pada prinsipnya turut memperlihatkan satu kemunduran dari segi teknologi pembuatannya jika dibandingkan dengan teknik ‘tempa’ yang telah diamalkan di sesetengah negara Asia Tenggara. Mereka sudah mempunyai teknik yang begitu tinggi khususnya bagi pembuatan gong/tetawak dari gangsa yang terdapat di Myanmar dan Filipina. Begitu juga di Indonesia yang menggunakan teknik yang sama bahkan lebih halus dan rumit lagi khususnya dalam pembuatan alat-alat Gamelan jenis ‘perunggu’ yang telahpun mendapat pengiktirafan masyarakat dunia sebagai gong yang terunggul.
Rebana

Rebana ialah sejenis alat muzik tradisional yang sering dimainkan bagi mengiringi lagu-lagu budaya.
Bagi masyarakat Melayu di negeri Pahang, permainan rebana sangat popular, terutamanya di kalangan penduduk di sekitar Sungai Pahang. Tepukan rebana adalah bagi mengiringi lagu-lagu tradisional seperti indong-indong dan pelanduk-pelanduk.
Selain daripada rebana bersaiz biasa, terdapat juga rebana besar yang dimainkan pada hari keraian bagi pertandingan menghasilkan bunyi dan irama yang dikenali sebagai Rebana Ubi.
Kompang ialah sejenis alat muzik tradisional yang paling popular bagi masyarakat Melayu. Ia tergolong dalam kumpulan alat muzik gendang. Kulit kompang biasanya diperbuat daripada kulit kambing betina, namun mutakhir ini, kulitnya juga diperbuat dari kulit lembu, kerbau malah getah sintetik.
Pada kebiasaannya, seurat rotan akan diselit dari bahagian belakang antara kulit dan bingkai kayu bertujuan menegangkan permukaan kompang, bertujuan menguatkan bunyi kompang. Kini, gelung plastik turut digunakan.
Tterdapat dua bahagian kompang iaitu bahagian muka (ada kulit) dipanggil belulang. manakala, bahagian badan (kayu) dipanggil baluh. Kompang perlu diletakkan penegang atau dipanggil sedak iaitu sejenis rotan yang diletakkan antara belulang dan baluh, sedak ini deletakkan bertujuan untuk menegangkan bahagian belulang dan menyedapkan bunyi kompang apabila dipalu.
Alat muzik ini berasal dari dunia Arab dan dipercayai dibawa masuk ke Tanah Melayu sama ada ketika zaman Kesultanan Melaka oleh pedagang India Muslim, atau melalui Jawa pada abad ke-13 oleh pedagang Arab.
Kompang biasanya berukuran enam belas inci ukur lilit dan ditutup dengan kepingan kulit pada sebelah permukaan. Ia mempunyai bukaan cetek dan dimainkan dengan memegang dengan sebelah tangan sementara dipalu dengan sebelah tangan yang lain.
Cara memalu kompang ialah dengan menepuk kulit kompang dengan bahagian jari-jari atau tapak tangan mengikut rentak. Kompang biasanya dimainkan semasa perarakan, kenduri dan upacara-upacara tradisi lain.
Bunyi yang berlainan dihasilkan dengan membezakan cara bukaan tapak tangan. Bunyi 'bum' di perolehi dengan tepukan di sisi kompang dan tapak tangan dikuncup/rapat. Bunyi 'pak' di perolehi dengan tepukan di tengah kompang dengan jari tangan yang terbuka.
Paluan kompang terbahagi kepada 2 bahagian iaitu paluan tradisi dan paluan moden ataupun kreatif. Paluan tradisi adalah paluan di mana memukul kompang sambil menyayi ataupun bersyair dalam versi Arab ataupun bahsa Melayu klasik. Manakala paluan moden pula di mana paluan tersebut diselitkan dengan gerakan ataupun tarian. Di Sabah, pertandingan kompang sering diadakan untuk memartabatkan kembali kesenian Melayu yang telah hampir pupus ini.

Penghargaan
Wikipedia

No comments:

Post a Comment